MENU
 

Tasek Takong

Tasek Takong mendapat nama ketika Raja Reman yang memerintah Pattani, Thailand hingga ke jajahannya di Pengkalan Hulu (dulu dikenali Kroh), Lenggong dan Kedah lebih 100 tahun lalu dan berakhir selepas daerah itu diserahkan kepada kerajaan Perak pada 16 Julai 1909.

Bagaimanapun, tasik sebelum itu adalah kawasan tanah rata tetapi Raja Reman mengerahkan penduduk supaya membuat takungan bagi memberi kemudahan kepada ratusan ekor gajah miliknya berkubang dan mandi-manda.

Tasek TakongTasek Takong

Taman Tasek Takong seluas kira-kira 4,000 meter persegi dengan 1,000 meter daripadanya adalah bahagian tasik sarat dengan sejarah silam hingga kini kekal dengan nama panggilan Tasek Takong.

Sebuah pentas dibina dengan simen dan bertingkat dikelilingi pelbagai pokok termasuk spesies palma serta deretan bangku di sekelilingnya bagi memberi kemudahan pengunjung dapat menyaksikan acara diadakan lebih selesa.

Taman permainanan kanak-kanak dengan pelbagai bentuk dan laluan pejalan kaki serta deretan bangku serta beberapa pondok untuk ibu bapa berteduh sambil memantau anak bermain disediakan.

Pemandangan menarik Taman Tasek Takong kerana lokasinya berlatarbelakangkan bukit-bukau di sebelah utara yang bersempadan dengan Thailand, timur dan barat serta udara segar bersih dari angin perbukitan menyebabkan taman ini menerima ribuan pengunjung seminggu termasuk dari Baling, Kedah dan Selatan Thailand.

Tasek TakongTasek Takong

Taman Tasek Takong dibangunkan MDPH sebagai pusat pelbagai keramaian termasuk pesta rakit berhias, pesta menangkap ikan dan pelbagai acara dengan hingga menjadi popular dalam kalangan masyarakat Siam dari Selatan Thailand.